ULASAN ISU USUL RUU 355

Sebenarnya Usul RUU355 yang dikemukakan oleh MP Marang itu tidak mempunyai nilai legislatif yang signifikan. Peraturan Parlimen (Standing Order) membenarkan Ahli Parlimen yang bukan anggota Kabinet Kerajaan membentangkan RUU PERSENDIRIAN (Private Bill) hanya dalam bentuk USUL. Itupun, setelah disokong oleh salah seorang anggota Kabinet Kerajaan. Maksudnya, yang dibentangkan oleh MP Marang adalah Usul, bukan RUU itu sendiri.

RUU hanya akan dibentangkan oleh anggota kabinet kerajaan sebagai Bacaan Kedua, yakni selepas Usul RUU itu dibentangkan, dibahaskan, dan diluluskan oleh persidangan Parlimen dengan undi majoriti. Ini disebut sebagai BACAAN PERTAMA. Maknanya, sekiranya Usul MP Marang ini diluluskan sekalipun, USUL ini perlu diserahkan kepada kabinet kerajaan untuk dibentangkan sebagai BACAAN KEDUA. Kerajaan pula sebenarnya tidak terikat untuk membentangkan USUL tersebut, sekalipun ianya lulus. Kerajaan boleh membentang, menangguh tanpa had, atau meminda kandungan Usul tersebut. 
Proses menderaf RUU sebenarnya agak rumit dan biasanya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Mereka mempunyai pakar-pakar yang akan menderaf, menilai, dan menyemak RUU sebelum dibentangkan oleh Menteri di Parlimen. Sebenarnya RUU355 pada peringkat ini belum wujud kerana pihak Jabatan Peguam Negara tidak lagi menghasilkan kandungan sebenar RUU355 tersebut. Yang hanya ada di peringkat ini hanya Usul yang telah dibaca sebanyak dua kali, kemudian ditangguhkan tanpa perbahasan atau pengundian. Masih belum lepas BACAAN PERTAMA. 
Apa yang menjadi persoalan ialah, kerajaan sebenarnya boleh membentang RUU355 ini tanpa perlu kepada proses USUL dari MP. Sepertimana kerajaan pernah memindanya sebanyak dua kali sebelum ini yang keduanya tidak disokong oleh MP dari PAS. Kenapa Kerajaan tidak membentangkannya dan menyerahkan kepada PAS untuk mengusulkannya di Parliamen? Dari sudut legislatif, tiada jawapan yang munasabah untuk persoalan ini. Jawapan kepada persoalan ini hanyalah satu, ianya tidak lain dan tidak bukan melainkan sebagai HELAH POLITIK atau PERANGKAP POLITIK. 
Ianya adalah sebagai satu permainan sentimen politik keagamaan yang merbahaya. Tujuannya untuk menajamkan prasangka perkauman dan agama di kalangan rakyat dan parti-parti politik di negara kita kerana KEUTUHAN PEMERINTAHAN BN pada hari ini didirikan atas sentimen prasangka perkauman dan agama yang tajam di kalangan rakyat. Sekiranya sentimen ini runtuh, BN juga bakal runtuh. Sekiranya sentimen ini utuh, BN juga kekal UTUH. 
Apa sikap Amanah? Sudah acapkali disebut bahawa Amanah bukan sekadar menyokong sebarang usaha untuk memartabatkan Islam dan Mahkamah Syariah, malah wakil Amanah di Parlimen turut menghantar USUL kepada Speaker Parlimen untuk tujuan yang sama. Malangnya USUL tersebut ditolak oleh Speaker. Tetapi, Amanah menyedari HELAH POLITIK ini dan tidak mahu terperangkap dengan permainan politik sentimen prasangka perkauman dan agama yang disemai oleh BN ini. Maka kita mengatakan bahawa kita akan menentukan sikap hanya setelah RUU355 dibentangkan untuk dibahaskan di Parlimen. 
Kita percaya sebenarnya RUU355 tidak akan dibentangkan di parlimen oleh pihak Kerajaan kerana Umno terpaksa tunduk dengan tekanan MCA, Gerakan, MIC, dan parti-parti komponen Sabah dan Sarawak. Kalau RUU355 dibentangkan dan diluluskan oleh Kerajaan BN, bukan sahaja MCA, MIC, dan Gerakan akan keluar dari BN, malah Sarawak juga akan menjadi sebuah Negeri Pembangkang. PAS boleh menghimpunkan seberapa ramai penyokong mereka untuk berhimpun, tetapi realiti ini tetap begitu. 
Naib Presiden Amanah mencadangkan penyelesaian dalam sessi parlimen lepas supaya Kerajaan membentuk Jawatankuasa Khas parlimen yang diwakili oleh semua pihak bagi membincangkan perkara ini secara semangat muafakat tanpa ada prasangka dan permainan politik. Jawapan Speaker ialah Jawatankuasa itu hanya boleh dibentuk apabila Kerajaan mahu membentangkan RUU355 nanti.