Kenapa DSAI perlu dijatuhkan oleh BN?

Rasanya tidak perlu saya detailkan watak Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dari awal. Tetapi apa yang saya ingin berkongsi sedikit pandangan terutamanya kepada mereka yang merasakan mereka dikhianati dan seumpamanya. Mungkin juga ada di kalangan kita, apabila terdengar atau ternampak saja perkataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah cukup membuatkan perasaan kita membara. Tidak tahulah kerana merasakan DSAI ini betul-betul pengkhianat ataupun DSAI adalah ancaman utama di dalam karier politik bagi menjana keuntungan semaksima mungkin. Tetapi hakikatnya, inilah yang diketahui umum, apabila saja sesorang memegang tampuk kuasa di dalam BN, secara langsungnya mempunyai kekayaan melimpah ruah. Cuba kita congak di sekeliling kita, siapa yang tidak meraiah kekayaan negara apabila diberi kuasa hatta JKKK pun sekali?

Pada tahun 1997, Anwar Ibrahim dilantik memangku jawatan Perdana Menteri sementara PM masa itu Dr Mahathir Mohamad bercuti ke Jepun kira-kira 3 bulan. Pada masa ini juga, DSAI membentangkan pindaan undang-undang rasuah sehingga menjadi akta yang “menakutkan”. Itulah kesalahan utama DSAI dan menjadi punca kepada apa yang berlarutan sehingga kini.

Apakah pindaan akta rasuah yang “menakutkan” itu? Pindaan akta ini akan membolehkan BPR (kini SPRM) menghendaki individu itu mengisytiharkan hartanya itu apabila mendapat maklumat bahawa seseorang pegawai badan awam itu memiliki harta lebih daripada pendapatannya samada semasa atau selepas memegang jawatan berbanding sebelumnya BPR tidak boleh berbuat demikian jika tiada aduan walaupun jelas.

Pengaruh DSAI pada masa itu cukup kuat, malah seandainya DSAI bertanding bagi jawatan Presiden Umno pada masa itu, ramai peramal politik meramalkan Anwar mampu mengalahkan Dr Mahathir. Dr Mahathir juga sedar, malah Dr Mahathir ada juga membuat kira-kira dalam mempertahankan kuasa politik beliau. Andaikata Anwar berjaya sekali pun, mungkin Dr Mahathir berundur secara terhormat. Tetapi, apabila sahaja akta rasuah dipinda pada tahun 1997, mungkin perkiraan Dr Mahathir sudah berubah. Tampuk asas kekuasaan Mahathir juga berasaskan kepada kebanyakan mereka yang dikenali korup. Di kelilingi pengampu-pengampu yang mempunyai fail “masalah peribadi” yang bertimbun dalam gengaman Dr Mahathir sendiri. Mungkin cara itulah bagaimana Dr Mahathir menternak lembu yang telah dicucuk hidungnya bagi mengekalkan kuasa beliau.

Setelah sekian kalinya DSAI dilokapkan, dimalukan dan sebagainya, dan Dr Mahatahir merasakan DSAI bukan lagi ancaman dan ada perkara-perkara yang ‘menguris’ hatinya di dalam Umno sendiri (membawa kepada manarik diri dari Umno), Dr Mahathir dengan terang dan jelas mengakui DSAI tidak terlibat dari pertuduhan yang panjang lebar dan berliku-liku yang menampakan pelbagai kepincangan itu. Harus kita ingat, prinsip keadilan dalam menjatuhkan hukuman bersalah pada seseorang adalah dengan sesuatu bukti yang benar-benar kukuh. Malah bukti yang tidak lengkap juga tidak diterima pakai. Buktikan kebenaran buku 50 dalil sebelum menjatuhkan hukuman malah sampai penulisnya meninggal dunia ia tetap tidak dilakukan. Antara lain norma keadilan, seseorang tidak dikira bersalah selagi mereka tidak dibuktikan (sahih & tiada keraguan yang munasabah-prima facie) bersalah. Di sini saya rasakan anda sendiri boleh menilai di mana terletaknya nilai norma-norma keadilan tersebut.

Kementerian Kewangan adalah menteri yang paling kanan dalam jawatan menteri di Malaysia dan di mana-mana negara sekalipun. Di sini adalah terletak segala lubuk khazanah negara dan orang yang paling hampir dalam melakukan aktiviti rasuah yang mega-mega. Tetapi sekali lagi, tiada sebarang pertuduhan dikemukan kepada DSAI berkenaan rasuah berbentuk projek dan seumpamanya, dan bagi manyabitkan juga DSAI sebagai seorang ‘perasuah’ dengan menyalah guna kuasa. Kuasa apa yang ada pada DSAI selaku Menteri Kewangan ke atas pegawai polis? Rasa saya, menjadi amalan biasa kepada mana-mana ketua negara atau negeri memangil ketua polis, apatah lagi pegawai polis bagi menyiasat berkenaan masalah fitnah (buku 50 dalil) melibatkan seorang yang berjawatan menteri atau Timb. Perdana Menteri yang membawa imej negara.

Pelbagai perkataan dilabelkan kepada DSAI, “agen yahudi”, “pengkhinat negara”, “anda tak siapa kenal dia” dan macam-macam lagi tetapi apa yang lebih menarik perhatian saya, label-label yang saya andaikan boleh ditampal-tampal dengan tidak ada satupun kenyataan tersebut disertakan dengan satu bukti yang meyakinkan berbanding tindakan DSAI sendiri membongkarkan penglibatan negara dengan APCO yang antara tujuan utamanya adalah untuk memulihkan imej pemimpin yang diwar-warkan “bersih”. Kalau benar-benar bersih, kenapa hendak dibersihkan dengan jutaan ringgit duit rakyat?

Dalam menilai sesuatu pertuduhan, kita sebagai rakyat yang sudah mula celik dengan maklumat-maklumat terkini, jadilah kita sebagai “hakim” yang adil.

- AbuHakim
17/02/2011